KEUNIKAN KUNTAU PANGLIMA....
 
Persilatan Kuntau Panglima Malaysia merupakan sejenis beladiri silat melayu yang disifatkan sebagai kategori Buah Pukol. Ia mula diperkembangkan oleh Cikgu Shah melalui pengamatan, Penghayatan, Penglibatan dan pembelajaran selama 24 tahun bersama Mahaguru hebat yang dikenali Profesor Datuk Dr Haji Baharom bin Haji Kamari.
 
Kuntau ditafsirkan sebagai usaha tanpa henti dalam melakukan serangan. Secara ilmiahnya ia beerti kecekalan usaha seseorang yang tidak mengenal erti putus asa dalam segala aspek kehidupan. Lantaran itu, setiap anak Kuntau Panglima diterapkan bagi menghadam setiap ideology turun temurun guru-guru tua agar lebih memahami dan mengerti akan silat itu dalam diri.
 
Teknik permainan tempur tangan kosong yang menggunakan sarung tangan (Glove) sebagai alat keselamatan sekaligus memberikan pendedahan ilmu secara terbuka dan kebijaksaan akal dalam menyerang menjadikan silat ini sebuah ilmu tempur melayu yang unik. Ditambah dengan segala petua dan hokum yang diperturunkan dari generasi ke generasi menjadikan setiap langkah yang atur tidak menyerupai permainan yang seadanya apatah lagi meniru gaya mahupun cara.
 
Bagi yang pertama kali mengenalinya pasti akan ada yang terkasima, terketawa mahupun terfikir sejenak akan kebaikan permainan silat ini. Sikap pasang rumah yang kukuh menjadi asas kepada setiap permainan yang nak dilestarikan oleh pesilat.
 
Namun begitu, tidaklah ia dikatakan ganas jika ia dinamakan silat. Bangsa Melayu yang hebat telah menurunkan pelbagai ilmu antaranya ilmu persilatan yang bersifat disiplin, gagah, bijaksana, tangkas dan pelbagai lagi yang diterjemah dalam bentuk langkah dan gaya. Ganas atau menganas adalah lontaran pemain itu sendiri dalam membuat langkah dan gaya ia juga tidak diketepikan aspek kejiwaan yang mengambil kesan daripada kejernihan ilmu yang diperhalusi setiap masa.
 
Hanya orang silat memahami apa itu silat. Mempelajari sesuatu ilmu persilatan itu bukan merugikan malah ia menguntungkan jiwa dan hati. Yang penting pilih jalan bukan mengikuti jalan yang tidak pasti... berguru lebih baik dari menghadam sesuatu ilmu bersendirian kerana ditakuti menjadi telunjuk syaitan.
 
(Ampun dan maaf dari Persilatan Kuntau Panglima Malaysia)